Bismillahirrahmanirrahim :
Ya Allah
Ya Tuhan kami, Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Tuhan yang
mempunyai kekuasaan dan kebesaran. Tuhan penganugerah keselamatan dan
kesejahteraan. Kami hamba-hamba-Mu
menadah tangan sebagai tanda syukur yang tidak terhingga untuk
dihitungnya, atas keselamatan dan kesejahteraan, kesihatan dan
kenikmatan yang Engkau anugerahkan ke atas negara kami yang tercinta ini
Ya Allah.
Ya Allah ya Tuhan kami, Engkau campakkanlah jaluran
kerahmatan yang berpanjangan kepada kami, Engkau simpulkanlah ikatan
ukhwah penuh keserasian, Engkau labuhkan tirai keampunan maghfirah penuh
keinsafan, Engkau jaringkan tangsi hidayah dan inayah yang berkekalan,
Engkau titiskan darjah kesolehan dan kesihatan yang berkekalan buat
kami, anak-anak watan juga keluarga yang tersayang.
Wahai
pejuang-pejuang dan perwira-perwira negara, bangkit dan bersumpahlah
berpaksikan kalimah akidah tauhid Laailahaillallah Muhammadur
Rasulullah, bahawa tidak akan kami biarkan bumi yang bertuah penuh
bersejarah ini, diinjak pijak, disentap rentap, diselat lipat dek musuh
durjana petualang bangsa ya Allah.
Tidak akan kami biarkan,
biar ia putih bersih, tidak akan kami biarkan ya Allah, biarkan kami
mencurahkan segala kesangggupan dan keupayaan kami di dalam
mempertahankan negara kami dari sebarang kekacauan, huru hara dan
pencerobohan. Biarkan kami berputih tulang namun tidak sekali-kali kami
berputih mata menyerahkan kedaulatan negara kepada pengkhianat bangsa,
agama dan negara Malaysia yang kami cintai ini walaupun roh kami
melayang menjadi taruhan menyembah sujud bertemu-Mu ya Salam.
Doa Buatmu Perwira Negara
Ameen Ya ALLAH....
KEDUDUKAN ANGGOTA PASUKAN KESELAMATAN DIPERKUKUH DAN BERSEDIA
Lahad Datu, 3 Mac - Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar
menegaskan bahawa keselamatan di Sabah terutama di tiga lokasi berlaku pencerobohan kumpulan bersenjata adalah terkawal.
"Saya juga telah memanggil Panglima Angkatan Tentera (Jen Tan Sri
Zulkifeli Mohd Zin) untuk mengukuhkan kedudukan dengan mengambil kira
apa yang berlaku di tiga lokasi itu.
"Mereka juga dalam keadaan bersedia untuk tindakan selanjutnya,"
katanya pada sidang akhbar di Residental Felda Sahabat kira-kira 130
kilometer dari sini.
Beliau merujuk kepada tiga situasi iaitu
penahanan tiga anggota penceroboh yang cuba keluar dari kawasan
kepungan pasukan keselamatan di Kampung Tanduo, lima anggota polis mati
ditembak di Kampung Seri Jaya Simunul di Semporna dan
laporan pencerobohan 10 lelaki di Kampung Lumalong dan Kampung Dasar Lama di Kunak.
Hadir sama pada sidang akhbar itu ialah Zulkifeli, Pengarah Keselamatan
Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Salleh Mat Rashid
dan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib.
Ismail meminta
orang ramai agar jangan mempercayai khabar angin dan berita yang tidak
disahkan oleh polis tentang apa yang berlaku di negeri ini.
Beliau berkata orang ramai tidak perlu membuat andaian melainkan
disahkan pihak berkuasa terutama jika berdasarkan laporan di media
sosial dan komunikasi lain.
Ismail sekali lagi menegaskan
bahawa sehingga hari ini polis tidak pernah mengeluarkan perintah
berkurung kepada penduduk di negeri ini.
Beliau turut memberi
jaminan keselamatan kepada pelancong yang ingin datang ke negeri ini
untuk bercuti. Sementara itu, Zulkifeli dalam sidang akhbar sama
berkata penduduk di negeri
ini terutama masyarakat setempat di
daerah ini tidak perlu bimbang kerana situasi adalah terkawal dan
pihaknya berkerjasama rapat dengan polis dalam menangani situasi
keselamatan.
"Saya dan Ketua Polis Negara telah merancang
sesuatu dan kami boleh tangani situasi ini dengan kawalan keselamatan
yang ketat," katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta supaya penduduk di daerah ini, Semporna dan Kunak menjalani kehidupan seperti biasa.
Zulkifeli berkata bagi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap tahap
keselamatan mereka, dua lagi batalion tambahan tentera dihantar hari
ini dan ditempatkan di beberapa kawasan di kawasan pantai timur negeri
ini.- BERNAMA
Doa Buatmu Perwira Negara
@http://www.facebook.com/PolisDirajaMalaysia