Pages

Friday, October 12, 2012

Adakah Aku Seorang Munafik?

Menyedari hakikat bahawasanya kita ini selalu sangat mengaku islam, mengaku muslim dan mengikuti budaya, amalan dan cara hidup Melayu Islam. Adakah kita sendiri mengenali siapa Allah? Adakah kita mengetahui apa ajaran Rasulullah? Apakah kita mematuhi prinsip melaksanakan apa yang diperintahkan dan meninggalkan apa yang dilarang dan mengamalkan amal makruf dan nahi mungkar iaitu mengajak kepada kebaikan dan mencegah daripada berbuat kejahatan.

munafik

Adakah Aku Seorang Munafik?  Kebiasaannya orang munafik ini bersifat talam dua muka dengan berpura-pura mengikut segala ajaran Islam tetapi di dalam hatinya tidak dapat menerima ajaran yang suci ini.


Makna Munafik dari segi bahasa; orang yang menyembunyikan perkara atau maksud sebenar. Manakala dari segi syarak; seseorang yang tidak menzahirkan kekufuran dengan cara menyembunyikannya di dalam hati.

Mengenali tanda-tanda seseorang itu menjadi munafik:
1. Iman tidak tetap dan tidak teguh
Orang yang sebegini dapatlah diibaratkan seperti lalang di mana ia selalu mudah mengikut arah tiupan angin. Orang yang tidak teguh imannya sentiasa berubah-ubah mengikut keadaan. Mereka sangat mudah terikut-ikut dan terpengaruh dengan persekitaran.

2. Tindak-tanduk yang sentiasa berubah
Orang munafik bolehlah diibaratkan sebagai pelakon yang hebat. Ketika dia bersama orang yang sedang beribadat, dia akan turut sama melakukan ibadat tersebut walaupun hatinya terlalu susah untuk menerimanya. Sebaliknya yang terjadi apabila dia tidak dilihat oleh khalayak, dia akan mengikut kata hatinya dengan tidak melakukan amal ibadat.

3. Tidak tetap kata
Dia sentiasa mengubah pendiriannya. Sewaktu bersama dengan orang Mukmin lainnya, dia akan memuji-muji Islam dan menyatakan ketaatannya terhadap ajaran tersebut tetapi di belakang orang Mukmin, secara senyap dia akan menghina Islam.

4. Sentiasa mengharapkan kebaikannya dibalas
Jika dia melakukan sesuatu kebaikan dan berbuat jasa, dia akan mengharapkan kebaikan itu dibalas dengan balasan yang setimpal seperti wang ringgit atau pangkat.

5. Jiwanya tidak tenteram
Dia akan sentiasa resah dan gelisah kerana terpaksa bersikap pura-pura di hadapan orang ramai dan tidak dapat melaksanakan kehendak hatinya.

6. Menjadikan dunia sebagai matlamat hidup
Mereka hanya menjadikan dunia sebagai tujuan utama dan terlalu cintakan kebendaan. akhirat bagi orang munafik hanyalah satu mitos dan khayalan.

Bayangkanlah betapa hinanya jika tergolong dalam  golongan munafik ini kerana segalanya penuh dengan kepura-puraan. Lagi pula, balasan di akhirat amatlah berat.

Allah SWT berfirman:

munafik





Maksudnya: Sesunguhnya orang munafik itu akan ditempatkan pada tingkatan yang paling bawah sekali dalam neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapapun yang boleh menolong mereka.
(Surah al-Nisa': ayat 145)


Sumber daripada buku Indahnya Hidup Bersyariat

No comments:

Post a Comment